Sunday, November 27, 2011

Mengecat Rumah


Mengecat seperti seni lukisan memerlukan teknik dan langkah yang betul bagi mendapatkan impak berkesan. Jika karya lukisan dikagumi kerana memaparkan estetika, dinding kediaman sesuai gaya penataan berupaya mengungkap karektor ruang sekali gus menyediakan suasana menarik untuk dihayati.


Empat langkah yang perlu di ambil kira jika mahukan hasil cat yang baik iaitu:

  • Bersihkan permukaan yang mahu dicat
Sebelum kerja mengecat dimulakan, pastikan permukaan mana-mana ruang sama ada di dalam dan luar kediaman dibersihkan terlebih dulu. Untuk kawasan luar rumah, biasanya akan ada masalah ruang atau dinding berkapur, berlumut atau ada sisa cat yang tertinggal atau cat merekah. Justeru, gunakan saja penyembur air berkuasa tinggi untuk membuang sisa atau kapur yang terlekat.
Boleh juga gunakan sudip untuk membuang sisa cat atau lumut yang terlekat. Bagi ruang dalaman rumah, penggunaan penyembur air berkuasa tinggi atau air yang banyak sudah tentu tidak sesuai kerana ia boleh membasahkan ruang berkenaan. Justeru, gunakan kain pengelap dan basahkan dengan sedikit air untuk membuang habuk atau kapur yang melekat di dinding. 

  • Pilih peralatan yang berkualiti
Selepas permukaan dinding dibersihkan, maka kerja mengecat sudah boleh dilaksanakan. Namun, pemilihan peralatan mengecat perlulah berkualiti jika anda mahukan hasil yang baik. Untuk kerja mengecat, berus atau penggelek cat perlu berkualiti. Pastikan bulu berus cat tidak mudah tercabut kerana ia akan mengganggu kerja mengecat dan menghasilkan cat yang tidak rata.
Berus dan penggelek cat yang baik biasanya boleh dibasuh dan digunakan semula. Basuh menggunakan air biasa atau minyak mengikut jenis cat yang digunakan. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya menggunakan bahan yang lembut bukannya keras.

  • Pilih cat yang sesuai
Gunakan cat untuk luar rumah hanya untuk kawasan berkenaan saja. Cat luar kediaman biasanya boleh juga digunakan untuk ruang dalaman kediaman. Namun, cat untuk dalaman rumah tidak boleh digunakan di luar kediaman. Baca label pada tin sebelum memilih cat. Cat ada beberapa jenis mengikut kandungan dan kesesuaian serta material yang digunakan. Jangan gunakan cat untuk besi bagi permukaan berasaskan kayu begitu juga sebaliknya.

  • Waktu mengecat
Kerja mengecat sebenarnya tidak boleh dilakukan sesuka hati saja. Untuk mendapatkan hasil yang baik beberapa perkara perlu di ambil kira terutama jika kerja mengecat membabitkan kawasan di luar kediaman. Waktu yang paling sesuai untuk mengecat luar kediaman adalah pada waktu pagi dan petang iaitu ketika matahari tidak terik. Ini kerana sesetengah cat cepat kering dan tidak digalakkan mengecat pada waktu panas terik kerana ia memberi tindakan kimia kepada cat yang digunakan. Apabila cat cepat kering akan menyebabkan cat merekah. Elakkan mengecat pada waktu hujan kerana ia menyebabkan cat hilang.


TIPS: Langkah kerja mengecat

  • Siling – Amalkan mengecat bahagian siling dulu bagi mengelakkan cat menitis terus ke atas permukaan lantai dan dinding.
  • Dinding – Cat sempadan dulu selanjutnya menghala ke bawah. Sentiasa mulakan dengan mengecat tingkap terletak di hujung bilik dan jauh dari sumber cahaya bagi memudahkan anda melihat bahagian kawasan yang sudah selesai dicat.
  • Tingkap dan pintu – Sebelum mula, lindungi bahagian yang tidak perlu dicat seperti engsel, tombol, selak dan sebagainya. Bagi tingkap, cat bahagian rangka dalamnya dulu baru diikuti bingkai serta rangka yang lain. Sementara, untuk pintu, cat mana-mana acuan dulu sebelum panel, segmen melintang dan menegak manakala tubir pintu dicat akhir sekali.
  • Lantai – Ia dicat selepas dinding dan bahagian lain kering sepenuhnya. Bagaimanapun, pastikan lantai dibersih terlebih dulu kerana partikel habuk dan butir pasir menjadikan cat dilihat menggerutu dan tidak rata. 

Panduan sapuan cat sempurna pada permukaan baru
  1. Lapisan kayu, gunakan cat asas kayu disusuli dengan satu lapisan cat alas dan dua lapisan cat kilat.
    Permukaan besi dan keluli, satu lapisan cat asas logam oksida merah atau cat asas logam zink kromat disusuli dengan satu lapisan cat asas sebelum mengecat dua lapisan cat kilat.
     
  2. Bagi permukaan besi yang baru atau pernah dicat, pastikan permukaan itu kering bersih daripada habuk karat dan minyak.
     
  3. Cat ini sedia digunakan dan jika perlu gunakan pencair kegunaan am atau `turpentine’
     
  4. Biarkan lapan jam atau hingga kering sebelum mengecat semula


Panduan mengecat kediaman

KETIKA hendak menghias kediaman, ada kalanya kita bingung memilih warna cat untuk dinding rumah terutama bilik, ruang tamu dan dapur supaya ia sesuai dengan perabot, selain yang lebih penting menaikkan seri.

Sama ada menggunakan cat mahal atau sederhana, anda boleh menjimatkan belanja dengan mengecat sendiri rumah anda. Paling penting, pelajari dulu teknik dan panduan mengecat supaya tidak berlaku pembaziran. 

Antara panduannya ialah: 
      • Tanya semua ahli keluarga mengenai warna pilihan mereka sebelum membuat keputusan membeli cat atau kertas hiasan dalaman.
      • Dapatkan rasional mengenai pilihan warna yang dibuat, sama ada ia bersesuaian dengan warna perabot, fungsi bilik atau ruang serta kehadiran tingkap untuk cahaya.
      • Teliti katalog warna jenama cat yang dipilih dan sesuaikan dengan pilihan keluarga.
      • Biasanya, warna putih, kuning cair dan biru pucat digunakan untuk mewarnai keseluruhan ruang luar dan dalam kediaman.
      • Warna biru boleh menampakkan ruang atau bilik yang sempit menjadi lebih luas, selesa dan nyaman.
      • Elak menggunakan warna putih untuk bilik anak-anak yang masih kecil kerana ia mudah kotor akibat contengan kreatif mereka. Sebaiknya gunakan warna garang seperti oren, kuning dan merah di dinding bilik anak-anak supaya bersesuaian dengan sifat semula jadi fizikal dan mental mereka.
      • Warna putih dalam kebanyakan hal memberi kelebihan kerana ia akan menjadikan bilik semakin cerah pada waktu malam dan membuat ruang kecil tampak lebih luas. Selain menampakkan kebersihan, mudah disesuaikan dengan apa jenis perabot dan perhiasan rumah.
      • Warna garang seperti kuning, oren dan merah dikatakan dapat merangsang selera makan dan sesuai melatari dinding ruang makan.
      • Biru laut serta warna pastel sesuai untuk bilik tidur kerana ia mendatangkan kesan kesegaran dan ketenangan.
      • Jika pejabat anda dicat dengan warna garang, elakkan menggunakan warna garang untuk rumah anda kerana otak anda akan terus `dipaksa’ bekerja secara tidak langsung dan membuatkan anda rasa letih atau tertekan.

      No comments:

      Post a Comment

      Followers

       

      Simply Deco | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates